kami :)

Saturday, April 4, 2009

JANGAN LAH BERGADUH>>

Umat Islam digalak hidup bersatu padu dan saling bantu membantu antara satu sama lain. Tetapi sejak kebelakangan ini, sikap benci membenci sesama Islam semakin ketara dan menular di seluruh negara. Ini semua disebabkan adanya kempen politik keterlaluan oleh sesetengah parti politik yang tidak lagi memperdulikan batasan kesusilaan dengan memaki hamun dan mencerca peribadi pemimpin Muslim yang lain. Ini bertentangan dengan ajaran Islam yang amat jelas melarang umatnya bermusuhan dan saling membenci.

Persoalan ini memang menjadi satu masalah sosial di negara kita, khususnya di kalangan umat Islam masa kini. Memang tidak dinafikan punca utama masalah ini kerana permainan politik keterlaluan oleh sesetengah pihak.

Kalau ditinjau dari sudut pandangan Islam, maka secara terang dan jelas kita akan mendapati banyak ayat al-Quran dan hadis melarang umatnya daripada bertelagah, apa lagi bermusuh-musuhan sesama sendiri.

Ini kerana hasil daripada sikap yang tidak baik itu semata-mata akan menghancurkan kekuatan ummah dan sekiranya ini terjadi, maka sudah tentu ia memenuhi impian musuh Islam yang selama ini menanti saat seumpama ini.



Merujuk sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, katanya, Rasulullah bersabda, bermaksud: "Ditunjukkan amalan itu kepada Allah oleh kalangan malaikat pada hari Isnin dan Khamis. Lalu Allah memberikan pengampunan kepada setiap orang yang tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu, melainkan (Allah tidak mengampunkan) seseorang yang antara dirinya dan saudaranya ada rasa kebencian (dalam hati masing-masing). Lalu Allah berfirman: "Tinggalkanlah kedua-dua orang ini, yakni jangan dihapuskan dosanya sehingga kedua-duanya berdamai semula." - (Riwayat Muslim).



Hadis ini dengan jelas menunjukkan betapa sikap bencikan saudara sendiri (apa lagi yang seagama) amat dimurkai Allah dan sukar mendapat pengampunan-Nya.



Hubungan sosial atau kemasyarakatan, tunggak kesejahteraan ummah. Oleh itu, setiap anggota masyarakat sewajarnya berada dalam satu kelompok keluarga yang besar secara harmoni tanpa sikap benci membenci antara satu dengan yang lain.



Hidup bersatu padu dan tolong menolong antara satu sama lain ke jalan takwa sepatutnya pegangan umat Islam. Sebaliknya, janganlah kita tolong menolong dalam membesarkan permusuhan atau perkara dosa yang lain.



Dalam keadaan apapun, umat Islam tidak sepatutnya menyemai sikap permusuhan serta perpecahan kerana kelemahan paling besar bagi sesuatu ummah ialah permusuhan dan perpecahan sesama sendiri.



Islam mengajar umatnya tidak membenci orang lain, khususnya yang se agama. Malah, kita dilarang menimbulkan kebencian atau menghasut orang lain supaya membenci sesuatu golongan dalam kelompok Islam.



Dalam hadis lain, ada dinyatakan Rasulullah memperingatkan umatnya agar tidak berhasad dengki dan tidak halal bagi seorang Muslim untuk tidak bersapa sesama saudara Muslim yang lain selama lebih daripada tiga hari kerana perasaan benci kepada saudaranya itu.



Selepas tiga hari bermasam muka, wajarlah orang yang berselisih faham memohon maaf sesama sendiri dan mereka juga wajar bertaubat serta kembali menyatukan Silaturrahim antara satu sama lain.



Dalam hadis ini dinyatakan, amalan kita diangkat setiap hari Isnin dan Khamis kepada Allah, tetapi sekiranya kita masih dalam keadaan benci membenci sesama saudara seagama hingga saat amalan kita itu diangkat kepada Allah, Dia tidak akan mengampunkan dosa kita kerana sikap membenci saudara seagama itu.



Oleh kerana itu, segeralah bertaubat sebelum amalan kita diangkat kepada-Nya, Allah. Wallahu 'Aklam.

No comments:

Post a Comment